Saturday 12 May 2012

GEOGRAFI TINGKATAN 1


TEMA 2: Cuaca dan Iklim



CUACA DAN IKLIM DI MALAYSIA
Malaysia mengalami iklim jenis Khatulistiwa. Iklim Khatulistiwa bersifat panas dan lembap sepanjang tahun. Malaysia mencatatkan suhu yang tinggi dan setara (hampir sama) sepanjang tahun. Min suhu tahunan ialah di antara 26oC hingga 27oC. Kawasan tanah tinggi, seperti Cameron Highland, mengalami suhu yang lebih rendah, iaitu kira-kira 18oC. Malaysia menerima hujan lebat, iaitu kira-kira 2000 mm - 3000 mm setahun.


Ciri-ciri Iklim Di Malaysia
Ciri-ciri iklim negara Malaysia dapat dikenal pasti dari segi:
  • Suhu
  • Hujan
  • Angin
  • Kelembapan Bandingan Udara
SUHU
Malaysia mengalami suhu yang tinggi dan setara sepanjang tahun. Min suhu tahunannya adalah kira-kira 260C hingga 270C.


Min suhu tahunan di kawasan tanah pamah adalah kira-kira 270C, manakala di kawasan tanah tinggi, min suhu lebih rendah.


Julat (perbezaan suhu tertinggi dengan suhu terendah) suhu tahunan adalah pula kira-kira 180C. Bagaimanapun, julat suhu harian adalah tinggi, iaitu kira-kira 70C.


Malaysia mengalami julat suhu tahunan yang kecil
kerana:
  • Suhu agak sekata sepanjang tahun
  • Menerima pancaran matahari sepanjang tahun
  • Kelembapan bandingan udara tinggi (kira-kira 85%)
  • Langit diliputi oleh awan yang tebal
  • Litupan hutan yang tebal dan luas
  • Sifat kepulauannya iaitu dikelilingi oleh laut. 
HUJAN
Malaysia menerima hujan lebat sepanjang tahun, kira-kira 2030 mm. Taburan hujan di Malaysia tidak sekata dari sebulan ke sebulan dan dari satu tempat ke tempat yang lain kerana faktor-faktor seperti
  • Tiupan angin
  • Litupan awan
  • Bentuk muka bumi.
Malaysia tidak mengalami musim kemarau yang nyata tetapi terdapat masa kemarau yang singkat di beberapa buah kawasan. Namun begitu, kemarau tidak berlaku setiap tahun di tempat yang sama.


Jumlah hujan tahunan
1.Melebihi 3500 mm
-Kaki bukit Kelantan dan Terengganu
-Bukit Larut di Perak
-Gunung Jerai di Kedah
-Gunung Batu Putih di Banjaran Titiwangsa


2.3000-3500 mm
-Pantai Timur Semenanjung Malaysia
-Pantai Utara Sabah
-Bahagian Tengah Sarawak


3.2500-3000 mm
-Pedalaman Pantai Timur Semenanjung Malaysia
-Bahagian Selatan Semenanjung Malaysia
-Kaki Bukit Banjaran Titiwangsa
-Pantai Barat dan Tengah Sabah


4.2000-2500 mm
-Pantai Barat Semenanjung Malaysia
-Kawasan Pedalaman Semenanjung Malaysia
-Kawasan Pedalaman Sabah


5.Kurang 2000 mm
-Daerah Jelebu dan Kuala Pilah di Negeri Sembilan
-Kawasan pantai antara Kuala Selangor dengan Lumut


Kebanyakan hujan turun dalam bentuk hujan bukit dan hujan perolakan. Taburan hujan di Malaysia dipengaruhi oleh angin Monsun Timur Laut dan angin Monsun Barat Daya. Selain itu, Angin Sumatera bertiup pada masa yang sama dengan angin monsun barat daya.


TIUPAN ANGIN
Malaysia mengalami dua jenis tiupan angin yang utama iaitu:
  • Angin Monsun Timur Laut
  • Angin Monsun Barat Daya
Malaysia juga mengalami tiupan angin Sumatera yang bertiup dari Pulau Sumatera. Angin ini melanda kawasan pantai barat Semenanjung Malaysia terutamanya dikawasan-kawasan antara Pelabuhan Klang dan Johor Bharu.

Kawasan pinggir pantai Malaysia juga mengalami dua jenis angin tempatan iaitu bayu laut dan bayu darat.

  • Bayu Laut
Berlaku pada waktu siang kerana pada waktu siang daratan lebih panas cepat menjadi panas berbanding dengan lautan.

Suhu udara di permukaan daratan lebih tinggi daripada suhu di permukaan lautan.

Daratan mengalami tekanan udara rendah manakala lautan mengalami tekanan udara tinggi.

Udara bergerak dari lautan yang bertekanan tinggi ke daratan yang bertekanan rendah sebagai bayu laut.


  • Bayu Darat
Berlaku pada waktu malam kerana pada waktu malam daratan lebih cepat menjadi sejuk berbanding dengan lautan.

Suhu udara di permukaan daratan lebih rendah daripada suhu di permukaan lautan.

Daratan mengalami tekanan udara tinggi manakala lautan mengalami tekanan udara rendah.

Udara bergerak dari daratan yang bertekanan tinggi ke lautan yang bertekanan rendah sebagai bayu darat


KELEMBAPAN BANDINGAN UDARA
Kelembapan bandingan udara di Malaysia sentiasa tinggi kerana suhu sentiasa tinggi dan julat suhu rendah. Oleh itu, udara di negara kita sentiasa mengandungi wap air yang banyak.

Kelembapan banding udara merupakan nisbah perbandingan antara wap air yang wujud di dalam udara dengan jumlah wap air yang dapat ditampung oleh udara itu pada suhu yang tertentu

Kelembapan bandingan udara berubah-ubah mengikut suhu udara. Apabila suhu udara naik, kelembapan bandingannya turun dan apabila suhu turun, kelembapan bandingannya naik.

Lazimnya, kelembapan bandingan udara di negara kita melebihi 80%. Ini bermaksud jumlah wap air yang masih boleh ditampung ialah kira-kira 20% lagi.


FAKTOR-FAKTOR YANG MEMPENGARUHI IKLIM DAN CUACA DI MALAYSIA


A.Faktor Kedudukan Malaysia
Kedudukan Malaysia di kawasan Khatulistiwa menyebabkannya tidak mengalami kemarau yang nyata. Sebaliknya berkeadaan lembap sepanjang tahun.

Kedudukan ini juga menyebabkan Malaysia menerima pancaran matahari sepanjang tahun dengan purata 6 jam sehari.

Malaysia juga bebas daripada ancaman taufan dan siklon tropika (dikenali juga sebagai taufan di Laut China Selatan)

Kawasan yang dipengaruhi oleh siklon tropika ialah antara garisan lintang 6U hingga 20U. Siklon tropika merupakan ribut kecang yang bertiup menuju ke kawasan tekanan rendah di lautan tropika.


B.Faktor Tiupan Angin Monsun
Malaysia menerima dua jenis angin monsun yang utama, iaitu
  • Angin Monsun Timur Laut
Angin Monsun Timur Laut bertiup antara bulan November hingga Mac dan membawa hujan bukit yang lebat ke kawasan yang menghadap Laut China Selatan kerana angin ini bertiup dari laut.

Kawasan-kawasan yang menerima hujan lebat dalam musim ini (lebih daripada 1500 mm) ialah:
  • Pantai timur Semenanjung Malaysia
  • Bahagian selatan Banjaran Bintang
  • Bahagian tengah Banjaran Titiwangsa
  • Pantai utara Sabah (Kudat dan Sandakan)
  • Hampir seluruh negeri Sarawak
Kawasan yang menerima hujan sedikit dalam musim ini (kurang daripada 1000 mm) ialah:

  • Kawasan Pantai Barat Semenanjung Malaysia terutamanya di bahagian barat laut dan barat daya (terlindung oleh Banjaran Titiwangsa).
  • Kawasan sekitar Tawau dan pedalaman Sabah.
  • Angin Monsun Barat Daya
Angin Monsun Barat Daya bertiup antara bulan Mei hingga September. Angin ini tidak membawa hujan lebat kerana dihalang oleh kawasan tanah tinggi di Pulau Sumatera dan Kalimantan.

Kawasan yang menerima hujan yang lebat dalam musim ini (melebihi 1500 mm) ialah:
  • Bukit Larut dan Gunung Jerai
  • Kawasan gunung Batu Putih di Banjaran Titiwangsa
  • Kawasan Tanah Tinggi di Terengganu
  • Kawasan Tanah Tinggi di pedalaman Sabah
  • Pantai Barat Sabah
Daerah Kuala Pilah, di Negri Sembilan menerima hujan sedikit dalam musim ini (lebih kurang 1000 mm) kerana terletak dalam kawasan lindung hujan.

Kawasan lindung hujan
Bermaksud kawasan lereng bukit yang tidak mendapat hujan yang banyak. Ia terlindung daripada angin yang membawa hujan.

Kedua-dua jenis angin monsun ini mempengaruhi cuaca dan iklim di Malaysia.

C.Faktor Ketinggian
Ketinggian sesuatu kawasan boleh mempengaruhi suhu tempatan. Kawasan yang lebih rendah mempunyai suhu yang lebih tinggi, manakala kawasan yang lebih tinggi mengalami suhu yang lebih rendah.

Suhu turun dengan kadar 1C bagi setiap kenaikan 165m dari aras laut.

Contohnya Subang Jaya, Kuala Lumpur yang terletak di kawasan tanah rendah (40m dari aras laut) mempunyai min suhu tahunan 27.7C. Manakala min suhu tahunan di Tanah Tinggi Cameron (1 488m dari aras laut) ialah 17.8C.

Lapisan udara yang lebih hampir dengan permukaan bumi dipanaskan oleh haba dari bumi. Manakala lapisan udara yang semakin tinggi kurang mendapat haba dari bumi.

Oleh itu kawasan yang lebih tinggi mempunyai suhu yang lebih rendah.

D.Faktor Kepulauan
Malaysia dikelilingi oleh kawasan laut yang luas dan mempunyai sifat kepulauan.

Pada waktu siang, kawasan laut adalah lebih lambat panas berbanding dengan kawasan darat. Ini merendahkan suhu di kawasan pinggir pantai dan menjadikan suhunya sederhana panas.

Manakala pada waktu malam pula, kawasan laut lambat sejuk berbanding dengan kawasan daratan. Keadaan ini meninggikan suhu di kawasan pinggir pantai dan menjadikan suhunya sederhana sejuk.

PENGARUH CUACA DAN IKLIM TERHADAP KEGIATAN MANUSIA


Pengenalan
Dunia kita boleh dibahagikan kepada beberapa zon iklim. Setiap zon iklim yang sama mempunyai sifat iklim, tumbuh-tumbuhan semulajadi, tanam-tanaman dan kegiatan manusia yang hampir sama.Zon iklim terbahagi kepada tiga jenis yang utama iaitu:

Zon Sejuk
  • Iklim Artik atau Tundra
Zon Sederhana
  • Iklim Jenis British
  • Iklim Jenis Mediterranean
  • Iklim Jenis China
  • Iklim Jenis Siberia
  • Iklim Jenis Steppe
  • Iklim Jenis Lauretia
Zon Panas / Zon Tropika
  • Iklim Gurun Panas
  • Iklim Monsun Tropika
  • Iklim Jenis Savana
  • Iklim Khatulistiwa
Pengaruh Cuaca Dan Iklim Terhadap Kegiatan Manusia
Kewujudan zon iklim yang berbeza di dunia adalah disebabkan oleh pancaran matahari yang tidak sekata kerana bumi berbentuk sfera. Iklim yang berbeza ini telah menpengaruhi cara hidup dan kegiatan manusia yang berbeza mengikut kawasan zon iklim


1.Zon Panas
Zon panas terletak di kawasan tropika, iaitu antara Garisan Sartan (23 1/2 U ) dan Garisan Jadi (23 1/2 S ). Zon ini mengalami keadaan panas sepanjang tahun. Zon Panas mempunyai empat jenis iklim, iaitu:
  • Iklim Khatulistiwa
  • IIklim Monsun Tropika
  • Iklim jenis Savana/Sudan
  • Iklim Gurun Panas
Gurun Thar
Merupakan contoh gurun panas yang terletak di sempadan dua buah negara iaitu India dan Pakistan. Keluasannya adalah kira-kira 455 000 km persegi. Gurun ini dikenali sebagai "The Great India Desert".


Ciri-ciri Iklim Gurun Thar
Gurun Thar mengalami iklim yang panas dan kering sepanjang tahun.

Langit di kawasan gurunnya tidak berawan dan ini menyebabkan:
-Suhu pada waktu siang sangat panas, min suhunya kira-kira 38 darjah C
-Manakala pada waktu malam sangat sejuk dengan suhu kira-kira 10 darjah C
-Min suhu tahunan ialah antara 27 darjah C - 35 darjah C.
-Julat suhu harian juga tinggi iaitu kira-kira 22 darjah C - 32 darjah C
-Hujan tahunan rendah,kurang 250mm
-Dipengaruhi Angin Timuran yang kering.



Cara Hidup Penduduk Di Gurun Thar
Penduduknya terdiri daripada orang-orang nomad.

Kegiatan utama penduduk ialah menternak binatang.

Antara binatang yang diternak ialah kambing, biri-biri, unta dan keldai. Lembu dan unta diternak untuk mendapatkan susu dan dijadikan binatang pengangkut serta membajak tanah.

Orang nomad hidup secara berpindah-randah untuk mencari kawasan rumput baru kerana di gurun kawasan rumput adalah terhad dan tumbuh di kawasan tertentu sahaja.

Rumah orang-orang nomad adalah ringkas dan diperbuat daripada jerami dan dahan- dahan kayu. Keadaan ini sesuai dengan corak hidup masyarakat nomad yang sentiasa berpindah-randah.

Selain itu, penduduk Gurun Thar ada juga yang mendirikan petempatan kekal. Kebanyakannya dibina di kawasan yang berhampiran dengan mata air atau anak sungai.

Mereka hidup secara berladang. Antara tanaman yang ditanam seperti gandum, kapas, bijian dan sayur-sayuran.

Mereka juga menternak unta, lembu, kambing dan biri-biri untuk mendapatkan susu, daging dan bulu.

Kegiatan pertanian mereka adalah mengikut perubahan musim. (Lihat di bawah)

Sebelum musim monsun
Pertengahan bulan Mac hingga pertengahan bulan Jun
  • Cuaca panas dan kering
  • Kelembapan udara rendah
  • Kadar sejatan tinggi
  • Pertanian kurang atau tidak dijalankan
  • Membuat persediaan kedatangan monsun seperti mengali perigi.
Semasa musim monsun
Pertengahan bulan Jun hingga bulan September
  • Hujan mula turun
  • Tumbuh-tumbuhan hijau dan bunga-bungaan mula tumbuh.
  • Petani memulakan kerja-kerja menyemai benih dan bercucuk tanam.
Selepas musim monsun
Pertengahan bulan September hingga pertengahan bulan November
  • Tumbuhan dan tanaman mula bertukar warna menjadi perang kekuningan.
  • Petani mula mengumpul hasil-hasil pertanian.
  • Membiak kambing dan biri-biri
2 Zon Sederhana
Zon sederhana terletak di kawasan tropika, iaitu antara Garisan Sartan (23 1/2 U ) dengan Garisan Artik ( 66 1/2 U) dan Garisan Jadi (23 1/2 S ) dengan Garisan Antartik (66 1/2 S ). Zon ini mengalami kejadian 4 musim iaitu musim bunga, musim panas, musim luruh dan musim sejuk. Jenis-jenis iklim di zon sederhana termasuklah:
  • Iklim Mediterranean
  • Iklim Steppe
  • Iklim Jenis China
  • Iklim Jenis British
  • Iklim Siberia
  • Iklim Jenis Laurentia
Siberia
  • Iklim Siberia ialah iklim sejuk sederhana kebenuaan
  • Musim panasnya pendek dan sederhana panas ( 15 darjah C - 20 darjah C ).
  • Musim sejuknya panjang iaitu selama 6 bulan dan sangat sejuk iaitu antara - 5 darjah C hingga 17 darjah C. Julat suhu tahunan adalah besar iaitu melebihi.
  • Jumlah kerpasan tahunan adalah sedikit iaitu kira-kira 500 mm. Kebanyakannya turun pada musim panas dalam bentuk hujan perolakan. Pada musim sejuk, kerpasan turun dalam bentuk salji.

Cara Hidup Penduduk Di Siberia


  • Penduduk di kawasan barat dan barat daya menjalankan pertanian campur kerana kawasan tersebut mengalami iklim yang lebih sejuk. 
  • Tanaman utamanya ialah gandum, oat, ubi kentang dan fleks. 
  • Penternakan lembu tenusu dan daging juga dijalankan.Pembalakan pokok tirus (pain, sprus, dan fir ) merupakan kegiatan ekonomi utama di kawasan Siberia.
  • Kegiatan menjerat binatang seperti tupai, musang, rubah putih dan mink dijalankan pada musim sejuk. 
  • Kegiatan perlombongan gas asli dan petroleum, batu permata, emas, arang batu dan kuprum juga dijalankan di siberia


3 Zon Sejuk
Terletak di antara latitud 66 1/2 darjah U/S dengan 90 darjah U/S. Zon sejuk ini meliputi kawasan Artik, Greenland, Iceland dan Alaska di hemisfera utara dan Antartika di hemisfera selatan

Greenland
  • Terletak berhampiran dengan Kutub Utara. 
  • Merupakan pulau yang terbesar di dunia.Mengalami iklum Artik iaitu iklim tundra. Mengalami 24 jam waktu siang antara Jun hingga Ogos. 
  • Digelar sebagai "Tanah bermatahari pada tengah malam"Sejuk sepanjang tahun.
  • Musim sejuknya sangat sejuk dan panjang.Suhunya antara - 22 darjah C hingga -4 darjah C. 
  • Musim panasnya singkat dan sederhana sejuk. Suhunya antara 1 darjah C hingga 5 darjah C. 
  • Jumlah kerpasan tahunannya sangat rendah iaitu kurang daripada 250mm. Kebanyakkanya turun dalam bentuk salji. Ribut salji dan dan angin kencang sering berlaku pada musim sejuk.

Cara Hidup Penduduk Di Greenland


  • Penduduk Greenland terdiri daripada orang Eskimo atau Inuit. 
  • Mereka hidup secara berpindah-randah mengikut perubahan musim. 
  • Orang Eskimo tinggal dalam igloo. 
  • Andur salji merupakan pengangkutan darat yang utama. 
  • Kereta salji berenjin atau skuter juga digunakan. 
  • Pada musim sejuk, orang Eskimo mejalankan aktiviti menangkap ikan, memburu anjing laut, dan sunga laut melalui lubang ais yang dibuat.
  • Pada musim panas, mereka akan menggunakan kayak sebagai pengangkutan utama. Menggunakan umiak (perahu besar) untuk menangkap ikan paus di laut. 
  • Pada musim panas, aktiviti menangkap ikan dilakukan dengan harpuan dan lembing. Ikan- ikan yang di tangkap termasuklah ikan kod, solomon dan ikan paus. 
  • Pada musim panas mereka juga mejalankan aktiviti memburu binatang seperti anjing laut, musang artik, singa laut, karibu, dan beruang kutub.

PENGARUH CUACA DAN IKLIM TERHADAP EKONOMI MANUSIA
Faktor cuaca dan iklim telah memberi pengaruh yang besar terhadap kegiatan ekonomi penduduk Malaysia terutamanya kegiatan pertanian, perikanan, pelacongan, pembalakan dan perindustrian


1 Ekonomi Pertanian




Iklim yang lembap dan panas sepanjang tahun dengan purata suhu menggalakkan pertumbuhan pelbagai tanaman seperti kelapa sawit, getah, koko, lada hitam dan sebagainya.


Hujan lebat sepanjang tahun iaitu berjumlah 2060 mm telah membekalkan sumber air kepada tanaman. Keadaan ini amat sesuai untuk tanaman padi.


Suhu yang sederhana di sesetengah kawasan tinggi iaitu seperti di Ranau (Sabah), Tanah Tinngi Cameron (Pahang) telah menggalakkan tanaman hawa sederhana, bunga-bungaan dan teh secara meluas.


Penanaman tembakau di Dataran Kelantan menjalankan proses menanam tembakau pada musim kemarau di kawasan sawah padi iaitu selepas padi dituai.


2 Ekonomi Perikanan




Cuaca dan iklim turut mempengaruhi kegiatan nelayan di pantai timur Semenanjung, pinggir laut Sarawak dan pantai utara Sabah yang menangkap ikan di Laut China Selatan dan Laut Sulu.


Mereka tidak dapat turun ke laut ketika tiupan angin monsun timur laut ('Musim Tengkujuh") kerana tiupan angin kencang dan laut bergelora yang boleh merbahayakan nelayan bot kecil.


Pada musim ini mereka melakukan kerja-kerja embaiki jaring, mengambil upah, bekerja sambilan atau berniaga kecil-kecilan.


Nelayan di pantai barat dapat menjalankan aktiviti menangkap ikan sepanjang tahun di perairan Selat Melaka kerana perairanya tenang sepanjang tahun.


Sekali-sekala terdapat tiupan angin kencang daripada angin Sumatera di perairan Selat Melaka yang berlaku ketika peralihan angin monsun iaitu antara bulan April- Oktober.


3 Ekonomi Pelancongan
Kegiatan pelancongan dapat dijalankan sepanjang tahun kerana iklim Malaysia panas dan lembap sepanjang tahun yang tidak mempunyai musim sejuk bersalji.


Pelacong asing dan tempatan dapat melancong ke destinasi pelancongan sepanjang tahun seperti di Tanah Tinggi Cameron, Tanah Tinggi Genting, Pulau Langkawi, Pulau Tioman dan sebagainya pada hujung minggu dan cuti sekolah.


4 Ekonomi Pembalakan
Iklim khatulistiwa menggalakkan pertumbuhan hutan hujan tropika di Malaysia.


Hutan ini menggalakkan perkembangan kegiatan penebangan pelbagai jenis kayu-kayan tropika seperti keruing, cengal, balau, mersawa dan meranti.


5 Industri Desa
Pengusaha makanan ringan seperti keropok dan belacan bergantung kepada cuaca yang panas dan bermatahari untuk menjemur bahan-bahan makanan tersebut.


Membandingkan Iklim Dan Kehidupan Penduduk Di Malaysia Dengan Di Negara-negara Lain


Malaysia
Jenis Iklim - Khatulistiwa


Ciri-ciri Iklim - Panas dan lembap sepanjang tahun.Min suhu tahunan C. Julat suhu tahunan kecil C. Hujan tahunan sekitar 2 600 mm. Kebanyakan hujan turun dalam bentuk hujan perolakan. Kelembapan udara tinggi. Litupan awan tebal.


Penyesuaian Cara Hidup - Kegiatan pertanian dapat dijalankan sepanjang tahun. Aktiviti penangkapan ikan di pantai timur Semenanjung Malaysia terganggu pada musim Monsun Timur Laut.


Gurun Thar
Jenis Iklim - Gurun Panas


Ciri-ciri Iklim - Panas dan kering sepanjang tahun. Min suhu tahunan antara . Julat suhu harian dan tahunan tinggi. Hujan tahunan kurang daripada 250 mm .Tiada litupan hujan.


Penyesuaian Cara Hidup -Aktiviti pertanian dilakukan semasa musim monsun (Jun-September). Penduduk nomad berpindah-randah mencari rumput untuk ternakan


Kawasan Siberia
Jenis Iklim Sejuk Sederhana Kebenuaan (Iklim Siberia)


Ciri-ciri Iklim - Musim panas pendek dan sederhana panas. Musim sejuk panjang dan sangat sejuk. Julat suhu tahunan besar, . Jumlah hujan tahunan 500 mm. Hujan maksimum pada musim panas dalam bentuk hujan perolakan. Kerpasan dalam bentuk salji pada musim sejuk.


Penyesuaian Cara Hidup -Kegiatan menjerat binatang pada musim sejuk. Pertanian campur di kawasan yang lebih panas. Pembalakan hutan konifer pada musim sejuk.


Greenland
Jenis Iklim - Tundra (Artik)


Ciri-ciri Iklim -Musim panas pendek dan sedrhana sejuk. Musim sejuk panjang dan terlampau sejuk. Julat suhu tahunan besar. Jumlah hujan tahunan 250 mm . Hujan maksimum pada musim panas. Salji turun pada musim sejuk. Ribut salji dan angin kencang pada musim sejuk.


Penyesuaian Cara Hidup -Kegiatan pertanian tidak dapat dijalankan kerana permukaan bumi sentiasa dilitupi ais. Penduduk (Orang Eskimo) hidup secara berpindah-randah mengikut perubahan musim. 

Jom Kita Tengok 4 Musim

Musim Bunga


  


Musim Panas




Musim Luruh

   

  Musim Sejuk

11 comments:

  1. cmner nak kira hujan tahunan

    ReplyDelete
  2. mcm mn nk kira julat suhu dan min suhu ?

    ReplyDelete
    Replies
    1. julat tahunan= min suhu bulanan tertinggi - min suhu bulanan terendah

      min= jumlah min suhu bulanan dlm setahun bahagi dgn 12

      ~andai salah,betulkan dan maafkan~ sorry.

      Delete
  3. yeap...saya juga ingin tahu bagaimana mengira hujan pertahunan.. yang dimaksudkan mm adakah ia mm padu (mm kuasa2) atau ia kena convert kepada liter?

    ReplyDelete
  4. Apa perbezaan cuaca dan iklim dari segi litupan tumbuhan dan contoh

    ReplyDelete
  5. sy nk tanya tentang apakah yang mempengaruhi taburan hujan di malaysia?

    ReplyDelete